Wednesday, June 23, 2010
LAGU SEKOLAH
Ilmu yang dipelajari
Di Sekolah Datuk Muhammad Yusof
Sekolah yang kami cintai
Bersama bertekad untuk mencapai cita
Berbekal nilai muerni yang ada
Segala Rintangan kami tempuh bersama
Semoga kami tetap berjaya
Marilah bersama membina harapan
Ke arah yang lebih cemerlang
Menjadi rakyat Malaysia yang berjasa
Disini mula kami bermula
VISI DAN MISI
VISI
Melahirkan Pelajar-pelajar Yang Cemerlang Dan Berwawasan Menjelang Tahun 2010
MISI
Meningkatkan Pencapaian Akademik Kemampuan Sahsiah, kokurikulum Dan Teknologi Maklumat Melalui Pendidikan Terancang, Budaya Kerja Berpasukan Dan Kerjasama Komuniti
Tuesday, June 22, 2010
SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH
Nama ‘Dato’ Muhammad Yusof’ diambil sempena nama seorang tokoh setempat yang telah berusaha dan bertanggungjawab terhadap penubuhan sekolah ini. Beliau ialah Allahyarham Dato’ Haji Muhammad Yusof bin Ahmad, seorang tokoh pendidik yang berpandangan jauh dan menginsafi betapa anak bangsanya yang sedia mundur itu akan terus ketinggalan jika tidak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.
Dato’ Haji Muhammad Yusof ialah adik kepada Allahyarham Pendita Za’ba. Beliau dilahirkan pada 17 September 1900 di Batu Kikir, Kuala Pilah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Kikir, Kuala Pilah pada tahun 1907. Pada tahun 1908, beliau berpindah ke Sekolah Linggi apabila bapanya berpindah ke tempat asalnya di Kampung Linggi. Pada tahun 1909 beliau meneruskan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar hingga lulus Senior Cambridge. Atas dorongan R.O. Winstedt, beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang doktor dan menceburkan diri menjadi pendidik setelah tamat latihan di Maktab Perguruan Melayu Melaka.
Antara jawatan penting yang pernah dipegang oleh Allahyarham ialah Penolong Nazir Sekolah-sekolah Selangor (1920), Penolong Pengetua Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang UPSI) dan kemudian menyambung semula jawatan tersebut setelah tamat Perang Dunia Kedua hingga bersara pada tahun 1951, pensyarah di Sekolah Bahasa Asing di Universiti Tenri di Jepun (1943), Pesuruhjaya Pengakap Persekutuan (1957-1960), Setiausaha Sulit kepada Yang Di Pertuan Agong 1 (1958) dan Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Allahyarham juga telah menubuhkan Persatuan Guru-guru Melayu Selangor pada tahun 1921 dan terpilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan pada tahun 1979. Beliau meninggal dunia pada 22 Disember 1980 di Kampung Linggi, N.Sembilan dalam usia 80 tahun.
Walaupun telah bersara dari jawatan, Allahyarham terus bergiat dalam masyarakat setempat di Linggi yang bertujuan untuk memajukan masyarakat setempatnya. Selama beberapa tahun, Allahyarham menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola dan juga Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Linggi. Sebagai menghargai ketokohan serta mengenangjasanya terhadap sekolah ini maka pada 21 Ogos 1982 Sekolah Menengah Linggi dengan rasminya ditukar nama kepada Sekolah Menengah Dato’ Muhammad Yusof. Perasmian tersebut telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Mohd Isa bin Dato’ Hj. Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan. Dengan itu nama Allahyarham telah diabadikan di sekolah ini. Sekolah Menengah Dato’ Muhammad Yusof mula diasaskan pada tahun 1960 dan dikenali dengan nama Sekolah Menegah Inggeris Linggi. Penubuhan sekolah ini adalah hasil inisiatif dan usaha Allahyarham Dato’ Haji Muhammad Yusof bin Ahmad.
Sebelum penubuhan sekolah ini, murid-murid yang tamat Darjah Enam di Sekolah Rendah Inggeris Linggi terpaksa meneruskan pengajian mereka di sekolah menengah sama ada di Bandar Port Dickson atau Seremban. Kedua-dua bandar ini terletak lebih 35 km dari Linggi. Disebabkan kesukaran kenderaan dan masalah ekonomi, hanya segelintir sahaja daripada murid-murid ini yang dapat meneruskan pelajaran mereka di sekolah menengah. Sebahagian besar yang lain terpaksa menamatkan persekolah mereka setakat darjah enam sahaja.
Menyedari kerugian kepada anak bangsanya, Dato’ Muhamad Yusof telah berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan menubuhkan sebuah sekolah menengah di Linggi. Beliau telah mendapat jasa baik Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu iaitu Encik Hamdan Sheikh Tahirn yang juga merupakan bekas muridnya untuk menyegerakan penubuhan sekolah ini. Dengan tertubuhnya sekolah ini, masalah ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah menengah telah dapat diatasi. Sekolah Menengah Inggeris yang baru ditubuhkan itu belum mempunyai mempunyai bangunan sendiri tetapi hanya menumpang di bangunan Sekolah Rendah Inggeris dan dijalankan pada sebelah petang. Sekolah ini dinamakan Linggi Lower Secondry English School.
Perubahan terhadap Dasar Pendidikan Negara pada tahun 1964 telah juga membawa perubahan besar kepada sekolah ini. Dengan pemansuhan peperiksaan masuk ke sekolah menengah dan pengenalan sistem pelajaran komprenhensif, lebih banyak pelajar memasuki sekolah menengah. Pada tahun 1965, sebuah kelas Tingkatan Satu aliran Melayu telah dimulakan disamping meneruskan seperti biasa dua kelas Tingkatan Satu aliran Inggeris dan dua kelas Peralihan (Remove Classes). Pada tahun itu juga satu lagi perubahan besar telah berlaku di sekolah ini dengan pembukaan sebuah kelas Tingkatan Empat. Ini bermakna sekolah ini telah bertukar dari Sekolah Menengah Rendah kepada sebuah Sekolah Menengah sepenuhnya. Mulai dari tahun itu sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Linggi.
Pada awal tahun 1967 Sekolah Menengah Linggi telah mempunyai bangunannya sendiri seperti yang ada sekarang. Pada tahun itu juga kumpulan pertama pelajar menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE). Pada tahun 1968, kumpulan pertama pelajar aliran Melayu meneruskan pelajaran mereka ke Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Rantau apabila sekolah tersebut siap dibina dan diduduki.
Sejak mula ditubuhkan sehingga tahun 1965, pelajar-pelajar di sekolah ini bukan sahaja datang dari kawasan sekitar Linggi, tetapi juga dari kawasan meliputi 25 km sekelilingnya. Ini termasuklah dari arah utara dari Rantau, Siliau dan ladang-ladang sekitarnya hingga ke Kombok dan Seremban Estate. Dari arah barat termasuklah Pasir Panjang dan sua Betong, dari arah Selatan dari Lubok Cina dan dari arah timur dari Kundor hingga ke Pedas dan Pilin. Hanya setelah penubuhan sekolah-sekolah menengah di Rantau, Pasir Panjang dan Lubuk Cina bilangan murid sekolah ini berkurangan.
Sekolah Menengah Dato’ Muhammad Yusof ini terletak di satu kawasan seluas 13 ekar di kampung Linggi. Kampung Linggi sendiri adalah merupakan sebuah kawasan pedalaman daerah Port Dickson. Di samping sebuah pekan kecil linggi, terdapat tiga buah kampung utama iaitu Kampung Pengkalan Durian, Kampung Linggi dan Kampung Permatang Pasir. Kawasan Linggi ini dikelilingi oleh ladang-ladang getah. Getah juga menjadi sumber pendapatan utama penduduk di kampung-kampung tersebut. Maka tidak hairanlah jika 80% daripada murid-murid di sekolah ini terdiri daripada anak penoreh getah.
SEJARAH PERKEMBANGAN
Semasa mula-mula diasaskan, sekolah ini tidak mempunyai bangunannya sendiri. Pelajar-pelajar menumpang di Sekolah Rendah Inggeris Linggi pada waktu petang. Guru Besar sekolah rendah ini iaitu En. Enoch Daniel dilantik sebagai Penyelia (Supervisor). Pihak Jabatan Pelajaran Negeri tidak melantik pengetua sekolah ini memandangkan sekolah ini tidak mempunyai bangunannys sendiri. Sehingga tahun 1965, murid-murid sekolah ini hanya belajar setakat Tingkatan Tiga sahaja. Murid-murid yang lulus Lower Certificate of Education (LCE) dan berkemampuan meneruskan pelajaran mereka di tingkatan Empat di Port Dickson dan Seremban.
Bangunan sekolah ini didirikan pada tahun 1966 bersebelahan dengan Sekolah Rendah Inggeris Linggi dan mula diduduki pada awal tahun 1967, iaitu terdiri daripada dua blok bangunan dua tingkat yang mengandungi 11 buah bilik darjah, sebuah makmal sains, tiga buah bengkel seni perusahaan, sebuah bilik pejabat , sebuah bilik guru dan dua buah tandas murid. Walau bagaimanapun, kemudahan yang ada itu tidak cukup untuk menampung bilangan pelajar yang ada. Sebanyak lima buah kelas terpaksa dijalankan pada waktu petang.
Pada tahun 1972 sekolah ini mendapat bangunan tambahan terdiri daripada satu blok bangunan dua tingkat mengandungi 5 buah bilik darjah, sebuah makmal sains dan sebuah klinik pergigian, sebuah bangunan setingkat mengandungi dua makmal sains dan sebuah lagi ialah bangunan kantin. Ini bermakna sekolah ini telah mempunyai empat buah bilik makmal sains dan 16 buah bilik darjah.
Bilangan murid dalam tahun 1967 berjumlah 600 orang dalam 16 kelas aliran Inggeris dan Melayu dengan bilangan guru seramai 22 orang. Kelas-kelas aliran Inggeris bermula dari Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan 5 sementara aliran Melayu sebanyak 3 kelas sahaja dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Bilanagn murid semakin meningkat tahun demi tahun hingga mencapai 950 orang pada tahun 1979. Di samping 22 orang guru, sekolah ini mempunyai beberapa orang kakitangan terdiri daripada seorang kerani, seorang pelayan pejabat, seorang pembantu makmal dan empat orang tukang kebun. Pengetua yang pertama di sekolah ini ialah Encik Anthony Yeow Kim Swee.
Pencapaian akademik sekolah ini pada awal penubuhannya boleh dikatakan baik memandangkan lokasinya yang agak jauh dari bandar dan taraf sosio-ekonomi sebahagian besar muridnya yang rendah. Daripada kumpulan pertama murid sebanyak 47 orang yang menduduki peperiksaan MCE pada tahun 1967, dua orang berjaya mendapat gred 1, 9 orang mendapat gred 2 dan 15 orang mendapat gred 3. Ini bermakna peratus kelulusan ialah 55.3%.
Menyentuh perkembangan murid di sekolah ini, sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat kemerosotan dalam bilangan murid. Pada tahun 1992, bilangan murid adalah sebanyak 631 orang berbanding dengan 660 orang pada tahun 1991. Bilangan ini terus merosot menjadi 608 pada tahun 1993 dan kini pada tahun 2009, bilangan murid adalah seramai 380 orang. Kemerosotan murid bermula selepas kemuncak bilangan murid teramai iaitu pada tahun 1979 iaitu hampi seribu orang. Faktor utama yang menyebabkan kemerosotan ini ialah penduduk di sekitar kawasan Linggi semakin berkurangan disebabkan banyak daripada mereka terutama generasi muda, bekerja dan tinggal di luar kawasan Linggi. Selain itu pembinaan sekolah-sekolah menengah dan naik taraf sekolah-sekolah menengah di kawasan berhampiran turut mengurangkan murid di sekolah ini. Ini ditambah pula dengan sebilangan murid memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh, asrama harian biasa dan sekolah-sekolah teknik dan vokasional selepas tamat sekolah rendah dan PMR.
Bilangan guru pada hari ini (2009) adalah seramai 38 orang berbanding 22 orang pada tahun 1967 dan 42 orang pada tahun 1979. Pihak pentadbiran terdiri daripada Pengetua, Guru Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum. Kini sekolah ini juga mempunyai empat orang Ketua Bidang dalam bidang Kemanusiaan, Bahasa, Matemati dan Sains serta Teknik dan Vokasional.
PENTADBIRAN
Semasa menumpang di Sekolah Rendah Inggeris, sekolah ini ditadbir oleh seorang Penyelia yang juga Guru Besar sekolah rendah ini iaitu Encik Enoch Daniel. Setelah mendapat bangunannya sendiri mulai tahun 1967, barulah seorang Pengetua sendiri dilantik. Sehingga tahun 2009, sekolah ini telah mempunyai 9 orang pengetua iaitu:-
1967 – 1972 : Encik Anthony Yeow
1973 - !979 : Encik Tan Ghee Peng
1980 – 1984 : Tn. Haji Baharin bin Talib
1984 – 1989 : Tn. Haji Abdul Aziz bin Muhamad
1989 – 1994 : Tn. Haji Abdul Azizi bin Salleh
1994 – 1998 : Tn. Haji Jaafar Sidek bin Latif
1998 - 2001 : Tn. Haji Saari bin Awaluddin
2001 – 2005 : Datin Hajah Azimah bt Alis
2005 – kini : YM Sharifah Hajah Sabariah bt Syed Alwee
KOKURIKULUM
Pencapaian dalam kokurikulum juga boleh dibanggakan, terutama dalam permainan. Pasukan hoki sekolah pernah menyandang gelaran Johan bersama dalam kejohanan hoki sekolah-sekolah Negeri Sembilan dengan Sekolah Tunku Besar Tampin (TBS) pada tahun 1967.
Pada tahun 1991 pasukan bola tampar lelaki bawah 15 dan 18 tahun telah menggondol gelaran Naib Johan pasukan bola tampar N. Sembilan dalam pertandingan MSSNS. Begitu juga pasukan bola baling yang telah berjaya menyandang gelaran johan daerah Port Dickson untuk keempat-empat pasukan L15, P15, P18 dan L18 bagi empat tahun berturut-turut dari tahun 1991 -1994. Kegemilangan pasukan bola baling terus bertahun untuk beberapa tahun berikutnya dengan menggondaol gelaran juara dan naib juara. Ada antara murid di sini yang terpilih mewakili pasukan Negeri Sembilan untuk bermain di peringkat kebangsaan. Kini SMKDMY terbilang pula dalam pertandingan ping-pong peringkat daerah dan negeri.
SMKDMY TERKINI
Pada hari ini, SMKDMY telah mempunyai berbagai-bagai kemudahan yang boleh dikatakan lengkap untuk memudahkan perlaksanaan program kurikulum dan kokurikulum. Sekolah ini dijalankan satu sesi sahaja di sebelah pagi serta mempunyai bilik darjah yang mencukupi sejak tahun 1979. Pada tahun tersebut, Sekolah rendah Kebangsaan Linggi ( asalnya Sekolah Rendah Inggeris) telah disatukan dengan Sekolah Kebangsaan Linggi dan berpindah ke bangunannya sendiri yang terletak di belakang Sekolah Menengah Datuk Muhamad Yusof. Bangunan Sekolah Rendah Kebangsaan itu telah diambil alih oleh sekolah ini. Bangunannya terdiri daripada dua blok bangunan mengandungi 12 buah bilik darjah. Dengan itu sekolah ini mempunyai ruang yang cukup untuk menyediakan berbagai-bagai kemudahan.
Sebahagian daripada bangunan bekas sekolah rendah itu telah diubah suai dan dijadikan Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber ini dibina pada tahun 1991 dengan peruntukan sebanyak RM20,000.00 atas kelulusan YAB Menteri Besar N. Sembilan ketika itu. Pusat Sumber ini mengandungi sebuah bilik Audio Visual yang dilengkapi dengan ruang studio mini/bilik rakaman, overhead projektor, televisyen, video, slide projektor dan alat-alat siar raya, sebuah perpustakaan yang mengandungi bilik bacaan dan bilik koleksi buku yang mengandungi 14,000 buah buku dan sebuah bilik BBM. Di samping bilik-bilik utama dalam pusat sumber tersebut terdapat juga sebuah pejabat Penyelaras Pusat Sumber dan sebuah pejabat Pustakawan yang dijadikan bilik rawatan buku. Perpustakaan dan bilik AV dilengkapi dengan pendingin hawa untuk memberikan keselesaan kepada pengguna-penggunanya yang terdiri daripada murid-murid dan guru-guru SMKDMY. Namun demikian bilik AV tidak lagi berfungsi dan dijadikan sebagai bilik inventori. Berkembang mengikut kemajuan semasa, SMKDMY turut merasa tempiasnya. Maka pada tahun 2004 sebuah blok baru setinggi tiga tingkat telah didirikan antara surau dan padang bola keranjang. Bangunan ini mengandungi sebuah dewan yang dinamakan Dewan Za’ba, sebuah bilik mesyuarat, bilik SPBT, empat buah makmal sains dan beberapa buah bilik serbaguna lain. Sebuah makmal komputer siap sepenuhnya dibina pada tahun 2005 yang terletak di bahagian hadapan sekolah setentang dengan perpustakaan. Makmal ini menerima 25 buah komputer jenama KOMNAS, sebuah router, hub dan switch. Pada tahun 2007 pula SMKDMY menerima sebuah pusat akses fasa kedua dan mendapat 10 buah komputer jenama DELL. Makmal komputer dan pusat akses ini memberi peluang kepada murid di sini untuk mempelajari TMK dan mengakses internet secara percuma agar mereka tidak ketinggalan dan setanding dengan murid di kawasan bandar.
Kemudahan-kemudahan lain yang terdapat untuk perlaksanaan kurikulum ialah sebuah Bengkel Kemahiran Hidup, 6 buah makmal Sains, sebuah Bilik Pendidikan Seni dan dua buah bilik Ekonomi Rumahtangga. Kini bengkel Kemahiran Hidup dan Ekonomi Rumah Tangga telah ditukarkan ke blok belakang berhampiran padang kerana blok bahagian hadapan dijadikan blok kelas-kelas P&P. Sebuah surau juga talah didirikan pada tahun 1983 hasil sumbangan seorang dermawan anak tempatan Linggi dan digunakan untuk kelas Pendidikan Islam dan lain-lain aktiviti berkaitan keagamaan. Untuk perlaksanaan kokurikulum pula, sekolah ini mempunyai sebuah padang yang boleh dimuatkan balapan 300 meter serta dijadikan padang bola sepak dan bola baling,sebuah padang tenis yang siap dibina pada 1992, sebuah gelanggang bola keranjang, sebuah gelanggang bola tampar dan sebuah gelanggang sepaktakraw.
Selaras dengan keperluan pendidikan semasa yang memberikan penekanan terhadap kokurikulum di samping bidang kurikulum, beberapa kemudahan disediakan untuk pelajar-pelajar bergiat dalam lapangan sukan, pasukan beruniform, persatuan dan kelab mengikut minat masing-masing.